Isnin, Jun 29, 2009

Pais Ikan Kukus Ideal

Pada minggu lepas telah berlangsung pertandingan memasak untuk sekolah menengah tajaan Nestle Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, bagi negeri Perlis. Sekolah ku telah muncul sebagai johan pertandingan dan akan mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Alor Setar, Kedah. He..he..glamour sekejap aku dan tiga orang pelajarku.. Masing-masing asyik bertanyakan resepi pais yang menjadi "resepi kemenangan" dan ada yang meminta untuk merasanya.

Anak-anakku yang menyertai pertandingan

Chef Muluk sebagi chef jemputan dan juga juri pertandingan.

Jadi untuk tidak menghampakan kawan-kawan, aku letakkan gambar dan juga resepinya sekali. Buat la sendiri, senang je..



PAIS IKAN KUKUS IDEAL
Bahan:
1 potong isi ikan (rebus ambil isinya)
1 camca besar udang hidup ( potong kecil-kecil)
2 camca besar Susu Sejat Ideal
½ camca teh Serbuk Belacan
1 camca teh Serbuk Pati Ikan Bilis Maggi
1 camca sedang air asam jawa
1 batang serai (mayang halus)
½ biji telur
½ cawan kelapa parut
1 helai daun kunyit (hiris)
1 helai daun limau purut (hiris)
2 helai daun pisang ( untuk membungkus)
Sedikit garam

Bahan kisar:
3 tangkai cili kering
1 sm kunyit hidup
3 -5 biji lada hitam
1 biji buah keras
5 – 7 ulas bawang merah

CARA MENYEDIAKAN:
1. Satukan kesemua bahan dan bahan kisar. Gaul sebati.
2. Kemudian bungkuskan dengan daun pisang.
3. Kukus selama 20 minit. Bila masak, angkat.

Resepi ni hak milik aku, tapi siapa-siapa yang nak salin dan buat boleh saja.. Tapi janganlah ambil resepi ni untuk masuk pertandingan yang sama dengan aku. Takut nanti pihak penganjur reject kau orang punya penyertaan pula..

p/s cucu sutera kasih oii..tokcik dah letak resepi ni..cucu buat la ye..bubuh ikang selayang lagi sedap..Terengganu banyak ikang fresh, mesti sedapppp...

Ahad, Jun 21, 2009

Taman Negeri Perlis



Kelmarin, aku and the gang menghadiri kursus Biodiversity di Taman Negeri Perlis. Ni la pertama kali aku menjejakkan kaki ke Wang Klian walaupun dah masuk 17 tahun tinggal di sini. Taman ni terletak di Hutan Simpan Mata Ayer dan Hutan Simpan Wang Mu dengan keluasan 4,379.81 hektar. Taman Negeri Perlis juga berada di sebelah Barat Negeri Perlis yang mana berkedudukan di atas banjaran batu kapur yang terpanjang di Malaysia (38 kilometer) di kenali sebagai Banjaran Nakawan.

Jika nak melawat di Taman ni, kena buat permohonan dan dapat keizinan Jabatan Perhutanan dulu. Tak boleh main redah masuk je, takut kalau hilang..sapa yang susah? Satu lagi, takut terlepas masuk ke Thailand sebab hutannya bersambungan dengan negara tu. Silap-silap kena tangkap dan kalau ambil pokok dalam hutan Thailand boleh kena hukuman yang sangat berat, gantung sampai mati!.Ni orang pejabat Perhutanan yang bagitau. Bukan orang utan tau!.. he..he..
Tengah dengar taklimat sebelum masuk ke dalam Taman Negeri. Tapi kebanyakkannya tak dengar pun sebab Pegawai Perhutanan yang beri taklimat tak guna pembesar suara.

Ni la pegawai tu..muda lagi..


Ini laluan masuk ke Denai Putera Denmark (Denai Palma). Mula-mula dulu namanya denai palma sebab banyak pokok palma di sini. Tapi telah ditukar namanya kepada Denai Putera Denmark sempena lawatan Putera Hendrik dari Denmark pada tahun 2002. Aku heran pasal apa nak tukar namanya kepada nama si penjajah? Kalau tukar nama Putera Perlis ke, kan lebih baik sempena kelahiran Putera kepada Raja Muda..tu pendapat aku la.


Penanda stesen pertama. Hutan yang ada dikawasan ini adalah hutan sekunder, hutan yang tumbuh selepas pembalakan tahun 60an. Dulu penjajah dah teroka segala khazanah hutan kita dan dah bawa balik negara dia bermacam-macam benda. Denai ni pun hasil laluan penjajah yang menjumpai gua di atas bukit Wang Burma.


Ini adalah rotan gajah..lebih besar dari lengan orang dewasa.

Kena melalui bawah rotan untuk ke seberang. Boleh buat limbo dance..
Ini adalah akar banir
Ini akar Jangkang
Anai-anai berjalan macam askar! Nampak tak anai-anai tu? kalau tak nampak alamat rabun le...he..he
Chalet penginapan yang cukup segala kelengkapannya.

Gonggok ni sebesar jari tangan.


Ni pokok bogak spesis terpelihara..tak boleh ambil ikut suka nanti kena denda.

Laluan ke arah Gua Wang Burma. Pokok-pokok yang terdapat di sini sama yang terdapat di Thailand dan Burma. Pokok Perlis yang hanya terdapat di Perlis satu masa dulu dah pupus kerana tiada penjagaan yang sewajarnya...sayangnya.

Kemudahan penginapan yang selesa dan surau terbuka.

Asyik mendengar penerangan tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan pacat yang kekenyangan yang jatuh dari salah seorang peserta. Habis bertempiaran lari. Tak sempat nak ambil gambar sewaktu kecoh..

Pemandangan berhampiran kolam takungan air yang terbiar.

Letih tergambar di wajah..tak jauh dah.


Hadapan pintu masuk gua Wang Burma


Habis dah xpdc, dah boleh balik.. Penattt tapi besttt... Datang dan alami sendiri.. sukar diucapkan dengan kata-kata melainkan kita mengalaminya sendiri. Betullah kata-kata "Perlis Permai Lagi Mempersona"...
Kalau nak info yang lebih lanjut layari http://www.perlisforestry.gov.my/index.php?

Ahad, Jun 14, 2009

Taman Herba Perlis

Rimba Herba atau lebih dikenali sebagai Taman Herba Perlis ditubuhkan pada tahun 1998, merupakan projek Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di dalam usaha untuk mempelbagaikan potensi tumbuhan herba. Limpahan keaslian herba ini telah menjadi inspirasi kepada penyelidik taman ini untuk mengetahui warisan dan kemujaraban sistem perawatan tradisional yang telah diamalkan oleh nenek moyang sejak ratusan tahun dahulu. Sesungguhnya herba merupakan ubat untuk penyembuhan pelbagai jenis penyakit.

Bagi sesiapa yang minat akan suasana tenang di dalam hutan, eloklah berkunjung ke sini. Elok datang beramai-ramai sebab kawasan ni luas dan agak sunyi, memang suasana hutan asli. Luas taman ini adalah 12 hektar dan ada lebih dari 600 spesies pokok herba. Berpeluh juga nak berjalan sekeliling kawasan taman ni. Peluh meleleh hingga basah baju, boleh kurus badan tanpa sauna!. Kalau nak datang elok bawa air minum sekali, sapu minyak serai wangi kat tubuh supaya nyamuk tak gigit..pacat? ada juga tapi dalam semak.

Macam-macam nama pokok yang ada dan kadang-kadang agak kelakar juga namanya. Di antara tumbuhan ubatan terkenal yang terdapat di sini ialah Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Cekor, Halia, Serai, Mengkudu, Selasih, Kayu Manis dan lain-lain lagi. Sesetengah tumbuhan di sini merupakan tanaman yang lazimnya ditemui di sekeliling rumah seperti Bunga Raya, Bunga Tahi Ayam, Senduduk, Pokok Kapal Terbang, Sireh, Kesom, Pinang dan Pisang.


Makcik yang sakit lutut pun boleh jalan satu taman, ni kan pulak orang-orang muda.


Mula-mula masuk, kita jumpa pokok periuk kera. Mahal ni kalau jual..


Pokok ni nama dia, Otak Udang..macam peribahasa pun ada, kalau pes otak udang orang selalu makan dengan laksa..Pokok ni untuk wanita lepas bersalin.


Pokok Kaki Merpati ni guna untuk meningkatkan tenaga batin..tak yah beli vigra, yang asli pun ada.

Pokok Derhaka Mertua..nama dia pun takut dengar..kegunaan perancang keluarga.


Pokok Tapak Kucing ni guna dia untuk rawat kudis, panau dan kurap.


Ni pokok Ati-Ati Merah, untuk menjarangkan kelahiran.


Ini adalah keladi cabang, guna untuk buang angin dalam badan.


Pokok ni di rumah kita pun ada. Bunga Raya Merah guna untuk sakit mata dan pening kepala.


Pegaga air untuk kencing manis dan darah tinggi.


Yang ni tak tau nama dia, tapi nampak cantik..

Alangkah sempurnanya ciptaan Allah..Dijadikan penyakit berserta penawarnya.. Apabila menghadapi penyakit, janganlah berkeluh kesah. Sebaiknya kita perlu berusaha dan bertawakal kepada Allah..sesungguhnya kesembuhan sesuatu penyakit adalah dengan izin Allah.

Ahad, Jun 07, 2009

Denai Larian Sungai Perlis

Petang kelmarin aku ke Denai Larian Sungai Perlis untuk mengambil gambar bagi assignment landskapku. Dah lama tak pergi ke situ walaupun hampir setiap hari aku melalui kawasan ini untuk ke tempat kerja. Tempat ini mungkin kurang terkenal jika dibandingkan dengan Tasik Melati atau Gua Kelam yang menjadi tarikan pelancong. Tetapi sesuatu yang boleh dibanggakan kerana tempat rekriasi ini dijaga dengan baik oleh pihak JPS dan mempunyai tarikan tersendiri. Sungainya mengalir ke laut, ada waktu pasang dan surut mengikut pasang surutnya air laut.

Denai Larian Sungai Perlis sejauh 6 km ini merupakan denai larian yang sering digunakan oleh orang awam untuk aktiviti rekreasi seperti berjongging, bersenam, bersiar-siar, refleksologi dan lain-lain. Kawasan rekreasi ini terletak di Jalan Pengkalan Asam dan berada di kawasan Sungai Perlis. Kawasan rekreasi ini turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada para pengujung seperti trek jogging, titi gantung, tempat refleksologi, taman permainan kanak-kanak, gazebo, wakaf, 'outdoor gym', chalet, surau, tandas awam dan sebagainya. Jumlah Chalet yang ada untuk sesiapa yang ingin menginap adalah 3 unit ( 1 unit banglow & 2 unit berkembar) dengan harga berpatutan.
Titi gantung dibina merentasi sungai dan jika sesiapa yang ada penyakit lemah jantung atau masalah kesihatan, dinasihatkan tidak menaikinya. Anak keempatku yang sememangnya gayat bila berada ditempat tinggi, agak takut hendak menyeberang tapi bila lihat adiknya berjalan tanpa rasa takut, dia pun memberanikan diri. Akupun sebenarnya gayat juga, apatah lagi bila berjalan ramai-ramai, titi tersebut bergoyang dan berbunyi. Tapi sebab nak tunjuk berani pada anak, aku kawallah rasa gayat...dalam hati Allah saja yang tahu..he..he..aku sebenarnya fobia kat tempat tinggi!

Pada setiap hujung minggu, aktiviti seperti senaman aerobik, poco-poco, sukaneka turut diadakan bagi memberi ruang kepada para pengunjung untuk beriadah bersama keluarga di samping dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama masyarakat. Selain itu, budaya hidup sihat dapat dipraktikkan untuk menjamin kesejahteraan bersama. Keluarga ceria, keluarga bahagia.
Hemm..apa lagi, mai pakat mai, pakat mai ramai-ramai..Tapi jangan mai dengan awek...mai dengan mahram supaya tak sumbang mata memandang..
Chalet terletak hampir dengan dataran senamrobik.
Permulaan titi gantung
Taman permainan.
Tempat refleksiologi
Pemandangan dari atas titi (sebelah kiri)
Pandangan dari atas titi (sebelah kanan)