Ahad, Jun 14, 2009

Taman Herba Perlis

Rimba Herba atau lebih dikenali sebagai Taman Herba Perlis ditubuhkan pada tahun 1998, merupakan projek Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di dalam usaha untuk mempelbagaikan potensi tumbuhan herba. Limpahan keaslian herba ini telah menjadi inspirasi kepada penyelidik taman ini untuk mengetahui warisan dan kemujaraban sistem perawatan tradisional yang telah diamalkan oleh nenek moyang sejak ratusan tahun dahulu. Sesungguhnya herba merupakan ubat untuk penyembuhan pelbagai jenis penyakit.

Bagi sesiapa yang minat akan suasana tenang di dalam hutan, eloklah berkunjung ke sini. Elok datang beramai-ramai sebab kawasan ni luas dan agak sunyi, memang suasana hutan asli. Luas taman ini adalah 12 hektar dan ada lebih dari 600 spesies pokok herba. Berpeluh juga nak berjalan sekeliling kawasan taman ni. Peluh meleleh hingga basah baju, boleh kurus badan tanpa sauna!. Kalau nak datang elok bawa air minum sekali, sapu minyak serai wangi kat tubuh supaya nyamuk tak gigit..pacat? ada juga tapi dalam semak.

Macam-macam nama pokok yang ada dan kadang-kadang agak kelakar juga namanya. Di antara tumbuhan ubatan terkenal yang terdapat di sini ialah Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Cekor, Halia, Serai, Mengkudu, Selasih, Kayu Manis dan lain-lain lagi. Sesetengah tumbuhan di sini merupakan tanaman yang lazimnya ditemui di sekeliling rumah seperti Bunga Raya, Bunga Tahi Ayam, Senduduk, Pokok Kapal Terbang, Sireh, Kesom, Pinang dan Pisang.


Makcik yang sakit lutut pun boleh jalan satu taman, ni kan pulak orang-orang muda.


Mula-mula masuk, kita jumpa pokok periuk kera. Mahal ni kalau jual..


Pokok ni nama dia, Otak Udang..macam peribahasa pun ada, kalau pes otak udang orang selalu makan dengan laksa..Pokok ni untuk wanita lepas bersalin.


Pokok Kaki Merpati ni guna untuk meningkatkan tenaga batin..tak yah beli vigra, yang asli pun ada.

Pokok Derhaka Mertua..nama dia pun takut dengar..kegunaan perancang keluarga.


Pokok Tapak Kucing ni guna dia untuk rawat kudis, panau dan kurap.


Ni pokok Ati-Ati Merah, untuk menjarangkan kelahiran.


Ini adalah keladi cabang, guna untuk buang angin dalam badan.


Pokok ni di rumah kita pun ada. Bunga Raya Merah guna untuk sakit mata dan pening kepala.


Pegaga air untuk kencing manis dan darah tinggi.


Yang ni tak tau nama dia, tapi nampak cantik..

Alangkah sempurnanya ciptaan Allah..Dijadikan penyakit berserta penawarnya.. Apabila menghadapi penyakit, janganlah berkeluh kesah. Sebaiknya kita perlu berusaha dan bertawakal kepada Allah..sesungguhnya kesembuhan sesuatu penyakit adalah dengan izin Allah.

Ahad, Jun 07, 2009

Denai Larian Sungai Perlis

Petang kelmarin aku ke Denai Larian Sungai Perlis untuk mengambil gambar bagi assignment landskapku. Dah lama tak pergi ke situ walaupun hampir setiap hari aku melalui kawasan ini untuk ke tempat kerja. Tempat ini mungkin kurang terkenal jika dibandingkan dengan Tasik Melati atau Gua Kelam yang menjadi tarikan pelancong. Tetapi sesuatu yang boleh dibanggakan kerana tempat rekriasi ini dijaga dengan baik oleh pihak JPS dan mempunyai tarikan tersendiri. Sungainya mengalir ke laut, ada waktu pasang dan surut mengikut pasang surutnya air laut.

Denai Larian Sungai Perlis sejauh 6 km ini merupakan denai larian yang sering digunakan oleh orang awam untuk aktiviti rekreasi seperti berjongging, bersenam, bersiar-siar, refleksologi dan lain-lain. Kawasan rekreasi ini terletak di Jalan Pengkalan Asam dan berada di kawasan Sungai Perlis. Kawasan rekreasi ini turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada para pengujung seperti trek jogging, titi gantung, tempat refleksologi, taman permainan kanak-kanak, gazebo, wakaf, 'outdoor gym', chalet, surau, tandas awam dan sebagainya. Jumlah Chalet yang ada untuk sesiapa yang ingin menginap adalah 3 unit ( 1 unit banglow & 2 unit berkembar) dengan harga berpatutan.
Titi gantung dibina merentasi sungai dan jika sesiapa yang ada penyakit lemah jantung atau masalah kesihatan, dinasihatkan tidak menaikinya. Anak keempatku yang sememangnya gayat bila berada ditempat tinggi, agak takut hendak menyeberang tapi bila lihat adiknya berjalan tanpa rasa takut, dia pun memberanikan diri. Akupun sebenarnya gayat juga, apatah lagi bila berjalan ramai-ramai, titi tersebut bergoyang dan berbunyi. Tapi sebab nak tunjuk berani pada anak, aku kawallah rasa gayat...dalam hati Allah saja yang tahu..he..he..aku sebenarnya fobia kat tempat tinggi!

Pada setiap hujung minggu, aktiviti seperti senaman aerobik, poco-poco, sukaneka turut diadakan bagi memberi ruang kepada para pengunjung untuk beriadah bersama keluarga di samping dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama masyarakat. Selain itu, budaya hidup sihat dapat dipraktikkan untuk menjamin kesejahteraan bersama. Keluarga ceria, keluarga bahagia.
Hemm..apa lagi, mai pakat mai, pakat mai ramai-ramai..Tapi jangan mai dengan awek...mai dengan mahram supaya tak sumbang mata memandang..
Chalet terletak hampir dengan dataran senamrobik.
Permulaan titi gantung
Taman permainan.
Tempat refleksiologi
Pemandangan dari atas titi (sebelah kiri)
Pandangan dari atas titi (sebelah kanan)

Khamis, April 23, 2009

Perlis Power Plant


Kelmarin aku membawa rombongan pelajar dan guru ke Logi Janakuasa Perlis ( Perlis Power Plant) Sg. Baru, Simpang Empat. Walaupun logi janakuasa ni dah pun ada sejak tahun 2002, inilah pertama kali aku berpeluang masuk dan melihat sendiri apa yang ada di dalamnya.

Kami tiba di logi janakuasa pada jam 2.35 petang dan 'jaga' logi yang ada di hadapan pintu masuk telah menyambut kami dan memberi penerangan ringkas tentang peraturan ketika berada di loji. Siap suruh matikan handset...
Ini abang 'jaga'..tengah bagi taklimat!

Rombongan kami disambut mesra oleh Pegawai Operasi En Abd. Malek dan rakan-rakannya yang lain di blok pentadbiran. En. Abd Malek menerangkan yang logi janakuasa ini mempunyai kapasiti sebanyak 675 MegaWatt isipadu tenaga elektrik. Wow...kalau terjadi kebocoran atau kemalangan di logi ni dan ia berupaya membakar hangus sebahagian besar negeri Perlis!!.
(Mechanical and Electrical Erection Works for 675MW 3X KA 13E2 Gas Turbines, Steam Turbine, Balance of Plant and Piping for Perlis Combined Cycle Power Plant.)


Mendengar penerangan mengenai Logi Janakuasa...faham tak budak-budak ni, aku pun tak tau...aku pun kadang-kadang blur juga...pengetahuan aku pasai elektrik dan mekanikal enjin kurang sikit...payah je rasanya nak faham proses turbin ni.

Kena pakai topi keselamatan..




ini adalah dandang dan cerobong yang menjadi mercu tanda Perlis Power Plant...


Ini adalah kebuk pemerosesan air menjadi wap...bila dekat terasa wap panas...macam mandi sauna..


Dalam kawasan yang ditempatkan turbin gas/turbin stim..(tak nampak sebab ada dalam bilik bertutup, hanya dapat lihat dari luar je..)

Pencawang elektrik voltan tinggi...

Paip-paip diwarnakan mengikut kod warna tertentu....hijau lagi !!

Besarnya tangki air ni...


Mendengar penerangan mengenai bagaimana bahan kimia tertentu di masukkan ke dalam tangki bagi merawat air supaya ph nya menepati standard air yang dikehendaki untuk pemerosesan.


Di bilik kawalan..banyak panel yang dikawal dengan komputer...Tak berapa nak faham apa yang diterang oleh pegawai ni...nak tanya pun, tak tau apa nak tanya... ish..ish..cikgu tak faham, anak murid lagi la tak faham..yang aku tau pun rpm je...bab lain tak masuk otak...dah lama tak belajar fizik, lupa...


Kunjungan kami di sekitar kawasan berakhir... kami dijamu dengan mee bandung.. sedappp... last sekali, Lokman sebagai wakil rombongan menyerahkan buah tangan yang dibuat secara bidan terjun (nasib baik Dil tolong ingatkan..tima kasih ye adikkk).

Jumaat, Mac 27, 2009

BAJA CACING

Baja cacing adalah hasil teknologi pengkomposan sisa organik menggunakan cacing. Baja organik yang dihasilkan mempunyai kadar nutrien yang tinggi. Ia sesuai digunakan kepada tumbuhan hiasan, sayur-sayuran dan juga pokok buah-buahan bagi menggalakkan perkembangan akar, pertumbuhan daun, bunga dan buah.

Baja dari cacing sebenarnya amat baik untuk tanaman berbanding penggunaan baja kimia dan ia telah terbukti apabila kita hanya guna sekilogram baja cacing berbanding empat kilogram baja kimia.

Selain itu kos untuk memelihara cacing juga amat murah kerana ia hanya memakan tahi kambing, tahi lembu, jerami yang reput dan habuk kayu. Selain itu penggunaan kawasan juga tidak besar dan penjagaan cacing tidak sukar. Ini kerana cacing tersebut akan diletakkan dalam satu bekas yang dicampur dengan makanannya seperti jerami reput yang dicampur dengan najis kambing atau lembu.
Cacing tidak perlu diperiksa setiap hari kerana ia tidak mudah mati. Apa yang perlu dibuat ialah sentiasa membasahkan cacing-cacing berkenaan dan meletakkannya di tempat yang lembap.
Makanan perlu ditambah seminggu sekali. Setiap kotak yang diisi cacing perlu ditutup dengan jaring halus bagi mengelak dimasuki musuh perosak seperti semut dan kumbang.

Jerami padi yang direndam beberapa hari untuk mereputkannya.
Jerami reput yang dicampur najis haiwan.
Cacing perlu diletakkan di tempat lembab dan ditutup dengan daun kelapa.
Contoh cacing yang dibela.
Telur-telur cacing

Isnin, Mac 23, 2009

IDEA KREATIF

Cuba perhatikan bekas-bekas tanaman dan bentuk pokok-pokok hiasan berikut..


Bekas tanaman periuk kera yang diperbuat daripada sabut kelapa dan bekas tanaman pokok langsuir/pakis yang diperbuat daripada bubu atau serkap ikan.

Pokok tanduk rusa juga menggunakan sabut kelapa sebagai bekas tanaman.

Perhatikan, dua jenis berus sabut yang digunakan sebagai bekas tanaman untuk hiasan gantung.

Batang pokok yang dibentuk seperti jalinan bakul
Kreatif bukan? Kata orang, kalau kita berminat dengan tanaman hiasan, pelbagai cara akan dilakukan untuk memastikan tanaman hiasan nampak cantik dan menarik. Kadang-kadang idea kreatif sebegini pun boleh mendatangkan pendapatan jika kena caranya.